Aku, Kau dan Setitis Darah
To all my friends, this is my second try untuk menulis sebuah cerpen yang 100% rekaan semata-mata. Sekadar untuk hiburan and I really hope that all of you will enjoy reading this story. Taklah best mana, tapi belum cuba belum tahu kan?
Lots of love,
Afifah Suhaimi
Lots of love,
Afifah Suhaimi
“Nama aku Imanina, panggil Iman. Jangan nak mengada-ngada panggil Nina
ke ataupun nama penuh aku. Faham?”, suaranya begitu keras memberi amaran yang
sebenarnya bermaksud gurauan sehingga terkebil-kebil gadis yang berada
dihadapannya.
Namun gadis itu masih tersenyum menahan rasa takut yang menular dalam
dirinya. ‘Nak kata tomboi, tak jugak ..sebab dari cara pakaian pun sudah cukup
memperlihatkan sifat keperempuanan. Cuma, mungkin cara dia bercakap agak
kasar’, fikir gadis itu di dalam hati.
“Helo! Aku tengah cakap dengan tunggul kayu ke?”, soal Imanina kasar.
“Err..nama saya Zahira. Nak panggil Zahira ke, Zara pun boleh”,balas
gadis itu sambil menghulurkan tangannya sebagai tanda perkenalan. Imanina
menyambut huluran tangan itu.
“Saya harap awak boleh tolong saya dekat sekolah ni”, pinta Zahira
kepada Imanina. Kawasan sekolah yang luas itu menyebabkan dia takut untuk
berjalan seorang diri. Mujur juga dia terserempak dengan Imanina.
“Oh, boleh. Eh, aku nak tanya kau sikit boleh? Kau ni memang lembut
sangat eh? Sebab daripada gaya kau ber ‘saya,awak’ dengan aku tadi nampak
sangat kau ni lembik!”, ketawa Imanina apabila melihat air muka Zahira berubah.
“Tak lah..saya memang dididik untuk bercakap macam tu kalau berjumpa
dengan orang baru. Saya tak nak digelar budak sombong”, dengan penuh
berhati-hati Zahira menuturkan kata-kata itu, bimbang akan mengundang kemarahan
Imanina. Gadis ini nampak sahaja lembut pada luarannya, tapi garang mengalahkan
singa!
“Eleh! Apa-apa pun aku tabik hormat dekat kau sebab kau masih lagi
sudi ber ‘saya,awak’ dengan aku walaupun aku cakap kasar dekat kau. Tabik
gilalah..”. Zahira hanya tersenyum. Dia yakin Imanina sebenarnya adalah seorang
remaja perempuan yang lemah lembut sepertinya. Namun, ada sesuatu yang mengubah
gadis itu menjadi kasar.
********************************************************************
“Imanina Azman! Woi, tunggulah!”, Faiz. Air muka Imanina terus berubah
apabila nama penuhnya dipanggil. Bukan sekali, malah berkali-kali dia memberi
amaran, jangan pernah sesekali menyebut nama penuhnya, tetapi lelaki itu masih
juga dengan degilnya.
“Aku pantang betullah orang panggil nama penuh aku kuat-kuat”, rengus
Imanina kasar. Takut pula Zahira melihatnya. Dia tidak faham kenapa Iman harus
marah apabila orang cuba memanggil nama penuhnya. Bukankah ia lebih afdal?
“Eh Nina! Kau memang suka buat aku tertunggu-tunggu macam orang gila
dekat perpustakaan tu? Punyalah lama aku tunggu, rupa-rupanya kau dekat sini
dengan..”, omelan Faiz terus terhenti tatkala melihat seseorang sedang berdiri
disebelah Imanina dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
“Psstt..Nina, siapa tu? Budak baru ke? Siapa nama dia?”, soal Faiz
dalam nada berbisik. Apabila soalannya tidak dibalas, barulah dia memalingkan
muka menghadap Imanina yang sudah merenungnya dengan tajam. Alah! Dia sudah
masak dengan pandangan sebegitu. Ini bukan pertama kali dia menerima pandangan
maut Imanina, malah beribu kali!
“Berapa kali aku cakap jangan panggil nama penuh aku ataupun nama
‘Nina’ tu kuat-kuat?”, soal Imanina. Mukanya sudah merah menahan marah yang
teramat. Namun sebaik sahaja melihat muka Faiz yang selamba itu, terus hilang
aura marahnya. Bukan apa, sia-sia sahaja dia memarahi Faiz nanti lelaki itu
tetap akan mengulanginya dan dia tidak akan pernah serik.
“Err..Iman, ini siapa?”, soal Zahira cuba memecah kesunyian yang
tercipta antara mereka semenjak dari tadi.
“Oh, ini Amar Faiz. Bestfriend
aku merangkap jiran aku.”
“Hai, saya Faiz. Nama awak?”
“Nama saya Zahira. Selamat berkenalan”, Zahira mula menguntumkan
senyuman buat Faiz.
‘Hai, cantik betul si Zahira ni bila dia senyum. Tak macam singa
sebelah aku ni, masam memanjang. Susah betul nak tengok dia senyum. Aku bagi nickname yang cantik untuk dia, boleh
dia marah aku! Masalah gila Imanina ni..’, gerutu Faiz di dalam hati.
Hai Faiz kalau nak mengutuk orang dalam hati pun, janganlah sampai nampak
sangat reaksi muka tu..
“Kau kenapa? Pandang aku macam nak telan je. Asal? Tak puas hati dengan
aku ke?”, soal Imanina apabila menyedari Faiz memandangnya dengan pandangan
yang menjengkelkan. Benarlah kata Puan Aisyah, mama Imanina. Imanina memang
seorang yang tidak pernah cuba menjawab soalan, tetapi soalan pula yang dibalas
dengan soalan. Nina..Nina..
“Marah je kerja kau kan. Tak boleh cakap lembut sikit ke? Kau tu
perempuan, nama pun Imanina! Nanti lari semua jantan dalam dunia baru tau!
Nina, jangan lupa petang ni ibu aku ajak pergi rumah. Ada jamuan sikit. Jangan
risau, mama kau pun ada dekat sana. Jangan lupa tau! Aku pergi dulu Nina!”,
sengaja ditekankan perkataan ‘Nina’ itu supaya gadis itu geram.
********************************************************************
“Iman, awak lahir bulan berapa?”, tanya Zahira. Kalau boleh, dia ingin
mengeratkan hubungan silaturrahim diantara dia dengan Imanina. Entah mengapa
hatinya kuat mengatakan Iman akan menjadi saudaranya satu hari nanti.
“Kenapa kau tanya? Hmm..bulan 3, 11 haribulan”, balas Imanina acuh tak
acuh. Malas dia hendak memikirkan kenapa gadis itu sibuk bertanyakan tentang
hidupnya yang dirasakan semakin bosan dengan keadaan keluarga yang kucar-kacir.
Hanya Faiz seorang yang tahu mengenai perihal diri dan keluarganya. Oleh sebab
itu dia memperkenalkan Faiz sebagai sahabat karibnya kepada Zahira tempoh hari.
Faiz sedikit pun tidak kisah kerana kepadanya Imanina meluahkan isi
hatinya yang bagaikan dirobek dengan
pisau belati dan dihiris dengan sembilu tatkala melihat orang tuanya bertengkar
di rumah hampir setiap hari. Pada suatu hari, Imanina dilaporkan hilang oleh
mamanya dan membawa lari beg pakaian serta wang simpanannya kerana terlalu
tertekan dengan berita orang tuanya bercerai dihadapan matanya.
Pada masa itu, hanya Faiz yang tahu ke mana hendak dicarinya Imanina
yang dilaporkan hilang. Sebenarnya, Imanina hanya duduk di sebuah pondok yang
hanya diketahui mereka berdua sahaja. Mereka sering berkunjung ke situ setiap
kali Imanina menangis dan terluka. Kadangkala, Faiz juga turut bertandang ke
situ setiap kali berasa sedih.
Dia tidak mampu menghalang papa Imanina yang jauh lebih kuat
daripadanya. Kebiasaannya, jiran-jiran yang akan membantu meleraikan mereka dan
Faiz hanya mampu memandang lesu wajah Imanina yang sembab dibasahi air mata
yang tidak akan berhenti mengalir selagi papanya masih wujud di dalam hidup
Imanina. Oleh itu, apabila berita perceraian orang tua Imanina sampai ke
telinganya, hatinya tidak pernah berhenti mengucapkan syukur kerana orang yang
sering menyeksa zahir dan batin Imanina akan pergi dari hidup Imanina.
Sejak kejadian itu, Imanina berubah menjadi seorang yang kasar. Dia
tidak mengizinkan orang memanggil dirinya sebagai ‘Nina’ tetapi ‘Iman’, kerana
pada pendapat Imanina nama ‘Nina’ itu menunjukkan dia seorang yang manja dan
mudah menangis manakala nama ‘Iman’ menunjukkan dia seorang yang kuat dan mampu
meghadapi apa jua cabaran yang datang.Hanya beberapa orang sahaja yang
dibenarkan untuk memanggilnya ‘Nina’ iaitu Puan Aisyah, Faiz dan ibu Faiz, Mak
Cik Mah.
********************************************************************
Imanina megelap air mata yang jatuh membasahi pipi. Sejak bila air
matanya jatuh pun dia tidak perasan. Segera disekanya air mata yang masih
berbaki, bimbang dilihat oleh Zahira. Dia tidak mahu Zahira melihatnya sebagai
seorang yang mudah menangis. Sebaliknya, dia hanya mahu Zahira melihatnya
sebagai seorang yang cekal dan tabah dalam meniti liku-liku hidup.
Zahira perasan dari tadi Imanina hanya sibuk melayan perasaan. Dia
juga sudah tahu tentang perihal Imanina sedikit. Itupun setelah dipaksanya Faiz
untuk menceritakannya. Betapa payahnya Faiz mahu membuka mulutnya untuk
menceritakan perihal Imanina.
“Maafkan saya. Saya tak boleh pergi jauh. Cukuplah setakat ini sahaja
saya boleh ceritakan kepada awak tentang Nina. Kalau awak berani, awak pergilah
tanya dia sendiri”, usul Faiz.
Dia tahu Faiz pasti sudah berjanji dengan Imanina untuk menyimpan
rahsianya yang cukup besar. Namun, buat Zahira maklumat yang diperolehinya
sudah lebih daripada cukup kerana dia juga mengalami nasib yang serupa. Orang
tuanya turut bercerai kerana ayahnya mendapat berita tentang kecurangan ibunya
setiap kali ayahnya outstation.
Jadi sekarang ini, dia hanya tinggal bersama dengan ayahnya dan
adiknya, Zahid di sebuah rumah banglo mewah di Bukit Antarabangsa. Otak Zahira
sedang ligat memikirkan cara untuk menceriakan semula Imanina. Pada
pengamatannya, Imanina seorang gadis yang periang walaupun sering ditimpa
masalah, dia masih mampu menunjukkan wajah selambanya.
“Kalau awak lahir bulan 3, awak boleh jadi kakak saya! Sebab saya
lahir bulan 5!”, teruja sungguh nada suaranya. Lain pula reaksi Imanina ketika
itu. Dia tidak mahu mempunyai seorang adik ataupun orang baru dalam hidupnya
kerana dia tidak mahu kasih sayang mamanya beralih arah.
‘Ishh..simpang malaikat 44. Tak nak aku beradik dengan dia ni..’,
desus hati kecil Imanina.
“Eh, tak payahlah aku nak jadi kakak kau segala bagai. Jadi kawan pun
dah cukup. Jangan nak lebih-lebih pula”. Lain macam sahaja bunyinya.
“Kau faham ke tidak subjek Biologi ni? Kalau tak, aku boleh tolong
ajarkan..”,soal Imanina sekaligus cuba untuk menukar topik perbualan mereka
sebentar tadi. Pelawaan Imanina itu tidak mungkin akan dilepaskan oleh Zahira.
Dia tahu Imanina merupakan seorang pelajar yang pintar di sekolah mereka,
bahkan Imanina sering tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakannya.
Benarlah kata hatinya sebelum ini. Imanina sebenarnya memang seorang gadis yang
lemah lembut, cuma cara dia bercakap sahaja kasar.
********************************************************************
“Nina, mama nak cakap sikit boleh?”, tanya Puan Aisyah kepada puteri
tunggalnya yang sedang leka menonton televisyen.
“Hmm..boleh. Apa dia mama? Mama nak tanya banyak pun boleh. Nina tak
kisah..”, segera seluruh perhatiannya jatuh kepada wanita yang sentiasa ada
disisinya tidak kira susah ataupun senang. Itulah kasih ibu namanya.
“Kamu rindu papa tak?”, tanya Puan Aisyah dengan berhati-hati, bimbang
puterinya akan menangis.
“Kenapa mama tanya soalan macam tu?”, soal Imanina kembali. Alahai
puteriku yang seorang ini. Memang sudah diduganya soalan itu yang akan keluar
daripada mulut puterinya. Puan Aisyah mengetap bibir menahan geram kerana
Imanina memang tidak pernah cuba menjawab soalan, sebaliknya membalas dengan
soalan yang lain pula.
“Anak bertuah ni! Mama tanya, kamu tanya mama balik? Kamu rindu ke
tidak dengan papa kamu?”, soal Puan Aisyah sekali lagi.
“Rrr..inn..du”, jawab Imanina tergagap-gagap. Suaranya perlahan
sekali. Malas pula hendak bermain sesi soal jawab dengan mamanya kali ini.
Tetapi, jawapan itu cukup jelas untuk didengari Puan Aisyah. Bibirnya mula
menguntum senyuman. Senyuman yang sukar ditafsirkan.
“Kalau mama kata mama dah jumpa pengganti papa, macam mana?”, duga
Puan Aisyah.
Hampir terjatuh gelas yang berada ditangan Imanina ketika itu. Hancur
luluh hatinya apabila mendapat tahu niat mamanya yang ingin berkahwin lagi.
Siapakah lelaki yang berjaya mencuri hati mamanya sehingga mamanya nekad
membuat keputusan tidak terduga itu. Namun, demi mamanya dia harus akur dengan
takdir tuhan bahawa mamanya sering kesunyian kebelakangan ini.
********************************************************************
“Zahira! Zahid! Esok, kamu berdua ikut ayah pergi ke suatu tempat”,
arah Encik Muslim.
“Pergi ke mana ayah? Nak bawa kami pergi jumpa ibu ‘baru’ ke?”,
terpacul pula soalan itu dari mulut Zahira. Selama tiga hari berturut-turut,
dia asyik bermimpikan sebuah potret keluarga yang terdapat gambar ayah, dia,
Zahid serta..dua lagi gambar tidak jelas kelihatannya. Setiap kali dia cuba
mengambil potret itu, setiap kali itulah dia akan terjaga dari mimpinya.
Encik Muslim yang mendengar soalan puteri sulungnya itu terus tersipu
malu.
“Jadi betullah apa yang yang kak Zara teka tu?”, soal Zahid pula yang
muda dua tahun daripada Zahira.
“Yeay! Kita akan dapat ibu baru! Ya Allah, terima kasih kerana Engkau
telah memakbulkan doaku”, ucap Zahira.
********************************************************************
‘Siapa pula pak cik yang ada hati nak ganti tempat papa aku ni!’,
dengus Imanina di dalam hati. Sudah diceritakan perihal itu kepada Faiz, namun
Faiz hanya menyuruhnya menurut kata mamanya sahaja.
“Assalamualaikum Aisyah. Dah lama tunggu? Maaflah, nak kena tunggu
anak gadis saya sibuk nak berhias nak jumpa awak”, ujar Encik Muslim.
Pandangannya jatuh kepada Imanina yang sedang merenungnya dengan tajam.
Akhirnya dapat juga dia menatap wajah permata tunggal Aisyah yang sememangnya
terkenal dengan sifatnya yang kasar setelah orang tuanya bercerai. Apa yang
boleh dia lakukan? Dia tahu Imanina
pasti akan menerimanya suatu hari nanti. Dia sudah berikrar untuk menjaga
Imanina sepertimana dia menjaga Zahira dan Zahid, bahkan melebihi nyawanya
sendiri. Itu janjinya terhadap mama
Imanina, Aisyah.
“Tak apa. Anak saya dan saya pun baru saja sampai. Mana anak awak? Oh,
lupa pulak perkenalkan, ini Imanina. Satu-satunya permata hati saya. Nina,
salam Uncle Muslim”, arah Puan Aisyah. Imanina akur dengan kehendak ibunya.
Walau apa pun, dia harus menghormati yang lebih tua. Lagipun, dia dapat melihat
sinar kebahagiaan di dalam mata mamanya. Sesungguhnya dia redha dengan apa jua
yang bakal berlaku. Imanina menundukkan kepalanya, tidak sanggup untuk melihat
wajah bakal saudara tirinya nanti.
“Ini anak saya, Zahira dan Zahid”, Encik Muslim memperkenalkan pula
anak-anaknya.
‘Zahira? Tak mungkin Zahira yang aku kenal..’, fikir Imanina di dalam
hati. Serta-merta dia mengangkat mukanya untuk melihat ‘Zahira’ yang bakal
menjadi saudara tirinya nanti. Pandangan mereka bertemu. Wajah Zahira kelihatan
ceria apabila mendapat tahu Imanina bakal menjadi saudara tirinya. Tapi, lain
pula reaksi wajah Imanina.
“Kamu berdua dah kenal ke?”, soal Encik Muslim apabila dilihatnya
kedua anak dara itu saling berpandangan.
“Dah. Kenal sangat ayah. Inilah kawan baik Zara dekat sekolah. Inilah
Imanina yang Zara selalu cerita tu”, cerita Zahira.
‘Eh? Sejak bila pula aku isytiharkan si Zahira di kawan baik aku?
Perasan betullah budak ni’, umpat Imanina di dalam hati.
“Nina, kenapa tak beritahu mama kamu ada kawan baik perempuan. Mama
ingatkan kamu ada Faiz seorang sahaja. Kalau mama tahu, dah lama mama suruh
kamu ajak ke rumah. Cantik pula tu”, puji Puan Aisyah. Sakit pula hati Imanina
mendengar mamanya memuji Zahira didepannya.
Imanina terus bangun dan meninggalkan meja itu lantaran tidak mahu
terlibat dalam urusan perbincangan mamanya dan Uncle Muslim. Semua yang berada
di meja itu tercengang-cengang melihat sikap Imanina yang berubah secara
tiba-tiba. Zahira hanya mampu menghantar langkah Imanina dari ekor matanya
sahaja.
“Maafkan anak saya ya Muslim. Dia memang macam tu, kasar sikit. Maafkan
aunty ya Zara, Zahid..”
********************************************************************
“Tak guna! Kenapa mulut kau ni masin sangat Zahira? Kenapalah dalam
banyak-banyak orang di dunia ni, kau yang akan jadi saudara tiri aku? Kenapa?”,
soal Imanina sambil menghadap cermin yang terdapat di tandas awam tersebut.
“Sebab mungkin telah ditakdirkan. Kenapa awak tak boleh terima ke?
Saya sudi Iman,saya sudi..dan saya sanggup lakukan apa sahaja untuk jadi adik
dan juga kawan baik awak”, rayu Zahira. Sejak bila dia muncul pun tidak tahu.
‘Sejak bila pula minah ni muncul? Eeii..rimas betul aku dengan budak
ni lah. Nak merayu dengan aku konon. Ingat aku kesian la dengan muka sepuluh
sen dia tu?’, rungut Imanina di dalam hati sambil mengurut dadanya yang masih
terkejut dengan kehadiran Imanina secara tiba-tiba.
“Hei! Kau dengar sini baik-baik. Aku cuma ada seorang kawan baik dan
orang itu adalah Faiz. Sekali lagi aku ulang, FAIZ! Dan aku tak nak ada adik
ataupun bapak baru dalam hidup aku! Aku tak nak, kau faham tak?”, jerit Imanina
sekuat hati. Tanpa disedarinya, tangannya sudah berlumuran darah kerana terkena
serpihan kaca sewaktu menumbuk cermin itu tadi. Boleh tahan brutal juga si Iman ni ek..
Dia sedikitpun tidak berasa sakit jika hendak dibandingkan dengan rasa
sakit di dalam hati yang lebih parah dan menusuk hatinya yang paling dalam.
Zahira yang mendengar luahan hati Imanina terus berlari meninggalkan Imanina
bersendirian di tandas awam tersebut.
********************************************************************
“Nina, kau tak nak ambil gambar dengan mak dengan Uncle Muslim kau ke?
Cantik gila mak kau, sebiji macam kau! Mak kau dengan Uncle Muslim pun sepadan
gila, pandai mak kau pilih warna tema.”, puji Faiz ikhlas.
“Tak kuasa aku nak tengok orang tua tak sedar diri tu pegang-pegang
tangan mak aku. Mak aku pun satu, dah tua pun ada hati nak tayang kemesraan tu
depan orang ramai”, luah Imanina tidak puas hati.
“Ishh.. Nina! Tak baik la kau cakap macam tu. Itu mak kau lah. Hari
itu kau cakap kau berserah je kalau mak kau nak kahwin dengan sesiapapun. Tapi,
hari ini lain pula aku tengok”, panjang lebar Faiz membebel. Matanya pula sibuk
melihat tangan Imanina yang sudah berbalut gara-gara mengikut kata hati tempoh
hari.
“ Ialah..masalahnya bukan dengan suami mama aku sekarang! Tapi, dengan
adik-beradik tiri aku tu!”, lurus jarinya menunjuk ke arah Zahira yang sibuk
melayan tetamu.
“Oh Zahira. Kenapa? Bukan kau dengan dia best buddies ke dekat sekolah? “, soal Faiz tidak mengerti.
“Aku tak boleh terima..aku tak boleh..aku tak nak ada orang lain yang
akan jadi anak mama aku selain aku! Aku cuma nak kasih sayang mak aku hanya
untuk aku! Kau faham tak Faiz?”, luah Imanina dan air matanya mengalir lagi.
Faiz yang melihat tidak mampu untuk berkata apa-apa. Dia tahu Imanina sekarang
sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
“Sabar Nina..sabar. Aku tahu kau kuat untuk terima semua ini. Jadi,
jangan putus asa. Allah tengah menguji kau”. Kata-kata semangat yang diberikan
oleh Faiz sebentar tadi benar-benar memberikan satu kekuatan buat Imanina. Ya,
hanya Faiz yang mengerti perasaannya. Hanya Faiz..
********************************************************************
“Nina, kamu ada nampak rantai mama tak?”, soal Puan Aisyah cemas.
Rantai tersebut merupakan pemberian Uncle Muslim yang terdapat sebentuk cincin
terukir nama Zahira dan Zahid. Sebenarnya, cincin tersebut adalah atas
permintaan Zahira sendiri yang ingin memberikan sesuatu yang bermakna buat ibu
tirinya.
Dia juga ada memberikan hadiah yang serupa kepada Imanina. Tetapi,
Imanina hanya memandang sepi hadiah tersebut. Sekurang-kurangnya Imanina tidak
membuangnya ke dalam tong sampah.
“Rantai? Rantai apa mama?”, balas Imanina. Alahai anak ini..buat-buat
tidak tahu pula.
“Rantai! Rantai yang ayah Muslim bagi! Ada cincin terukir nama Zara
dengan Zahid. Kamu jangan buat-buat tidak tahu pula. Mama tahu kamu sengaja
sorokkan sebab kamu dengki sangat dengan Zara tu kan? Kenapalah kamu ni busuk
hati sangat Nina?”, luah Puan Aisyah. Imanina tidak menyangka mamanya sanggup
menuduhnya begitu sekali. Walaupun dia tidak pernah menganggap Zahira dan Zahid
seperti adik-adiknya dan Uncle Muslim sebagai ayahnya, tetapi dia tidak sampai
ke peringkat menyorokkan hadiah pemberian keluarga tirinya itu. Kecil hatinya
mendengar tuduhan mama.
“Mama. Walaupun Nina tak pernah
suka dengan Zahira ataupun Uncle Muslim, Nina tak pernah niat untuk mencuri
hadiah pemberian mereka kepada mama. Nina tahu, mereka sedang cuba untuk
mengambil hati mama dengan Nina. Buat apa Nina hendak merosakkan hubungan yang
telah dibina? Apa yang Nina dapat ma? Sejak Zahira masuk ke dalam hidup mama,
mama tak pernah percayakan Nina! Tak pernah!”, luah Imanina kesal. Setelah
selesai meluahkan kata-kata, laju kakinya melangkah ke luar rumah. Puan Aisyah
hanya terduduk mengenangkan perangai Imanina yang sudah berubah.
“Aisyah, ini ke rantai yang awak maksudkan? Sebenarnya rantai ni
terjatuh dalam kereta semasa awak tergesa-gesa hendak keluar dari kereta tadi.
Jadi, ianya bukan hilang ataupun diambil oleh Iman sepertimana yang awak cakap
tadi”, beritahu Encik Muslim. Puan Aisyah terus mengalirkan air mata kerana dia
tahu dia telah melakukan satu kesalahan yang amat besar iaitu tidak mempercayai
anak kandungnya sendiri.
********************************************************************
“Nina! Aku ada hadiah untuk kau. Nah, ambillah”, kata Faiz sambil
menghulurkan sebuah bungkusan yang agak besar.
“Ishh..apa ni? Besarnya! Menyusahkan kau je..oh ya, terima kasih”,
ujar Imanina. Air muka yang tadinya suram terus bertukar menjadi ceria. Bijak
betul Faiz mengambil hatinya.
“Sebenarnya dah lama aku nak bagi hadiah ni cuma..tak ada apa-apalah!
Aku tahu kau ada salah faham sikit dengan mama kau tadi kan? Jadi, aku rasa
inilah masanya untuk aku beri hadiah ini kepada kau. “, ujar Faiz kembali.
Kebetulan dia singgah di rumah Imanina untuk memberikan hadiah tersebut, tetapi
Puan Aisyah memberitahu Imanina telah keluar kerana merajuk dengannya.
Tiba-tiba bunyi telefon bimbit Faiz berdering. Faiz mendengar dengan
teliti suara di dalam telefon bimbit tersebut. Terdengar suara Faiz
beristighfar panjang. Setelah selesai Faiz memandang Imanina, lama. Imanina
yang perasan akan pandangan Faiz itu terus mengangkat keningnya tanda bertanya
‘kenapa?’.
“Jom ikut aku pergi hospital sekarang. Cepat!”, arah Faiz.
********************************************************************
“Eh, kau boleh sabar tak? Kenapa tarik-tarik aku ni? Siapa yang masuk
hospital hah?”, soal Imanina bertubi-tubi. Sakit pula hatinya apabila Faiz
terus menariknya ke hospital dan membiarkannya tertanya-tanya.
“Faiz! Aku tanya sekali lagi, siapa yang sakit? Jawab Faiz!”. Serentak
itu, Imanina berhenti tanda protes. Mukanya serius dan tidak ada tanda untuk
berganjak selagi dia tidak diberitahu siapa yang dimasukkan ke hospital.
“Hei kau ni. Degil betul! Ok, aku beritahu. Zahira yang masuk
hospital. Z.A.H.I.R.A!”, dengan jelas Faiz mengeja nama Zahira satu persatu.
Imanina yang mendengarnya terkesima seketika. Tetapi riak wajahnya tidak
menunjukkan cemas ataupun sedih atas apa yang berlaku. Faiz memandang wajah
Imanina yang sudah seperti orang yang tidak mempunyai perasaan. Terdetik rasa
geram kerana tiada tindak balas langsung daripada sahabatnya yang seorang ini.
“Dah jom, ikut aku. Kau jangan nak banyak songeh pulak..”, bebel Faiz
sambil menarik lengan baju Imanina supaya mengikutnya.
********************************************************************
“Mama! Itu kak Iman!”, tunjuk Zahid ke arah Imanina yang semakin
menghampiri mereka.
“Mama, kenapa dengan Zahira?”, soal Imanina bersahaja. Tiada langsung
nada sedih ataupun risau dalam soalannya tadi.
“Kak Iman, kak Zara accident.
Dia cedera parah. Doktor kata kak Zara perlukan banyak darah tapi bekalan darah
pihak hospital tak cukup”, jawab Zahid bagi pihak Puan Aisyah.
“Habis tu? Apa yang aku boleh buat?”, soal Imanina kasar. Faiz yang
berada disebelah hanya mampu menggelengkan kepala.
“Err..kami semua dah cuba untuk mendermakan darah untuk kak Zara,
malangnya tak boleh. Ayah tak boleh menderma sebab dia ada tekanan darah
rendah. Darah mama tak sesuai. Saya pula tak boleh menderma sebab tak cukup
umur. Pihak hospital tak benarkan saya menderma”, luah Zahid diiringi esakan
yang halus.
“Mana doktor?”, tanya Imanina kepada Zahid.
“Ada. Mari kak, ikut saya”, pinta Zahid.
********************************************************************
“Ayah..Zara dekat mana ni?”, soal Zahira sebaik sahaja membuka
matanya. Cahaya lampu yang terang memaksa Zahira menutup matanya buat seketika.
Baru sebentar tadi dia keluar untuk membeli hadiah buat Imanina, tiba-tiba
dalam sekelip mata dia sudah berada di katil hospital.
“Ayah, mama mana? Kak Iman?”,
tanya Zahira lemah. Encik Muslim hanya diam membatu. Dia mengamati keadaan
Zahira yang berbalut di kepala dan tangan. Menurut doktor, kepala Zahira
terhantuk dengan kuat semasa kemalangan tadi. Mujur juga tidak berlaku gegaran
otak.
Akhirnya Zahira berjaya melepasi tahap kritikal selepas menjalani
pembedahan membuang darah beku di otaknya. Siapa sangka di saat-saat akhir,
mereka dikejutkan dengan berita ada insan mulia yang sudi mendermakan darahnya
buat Zahira. Encik Muslim tidak henti-henti membuat sujud syukur tanda
berterima kasih kepada yang Maha Esa. Luluh hatinya apabila diberitahu oleh
jururawat bahawa dirinya tidak boleh menderma darah kerana dia mempunyai
penyakit tekanan darah rendah.
“Zahid ada dekat sini kak Zara tak tanya pun..”, rajuk Zahid. Zahira
tersenyum mendengar rajuk adik lelakinya itu. Matanya meliar mencari seseorang.
Tiba-tiba pintu bilik wad yang menempatkan Zahira terbuka. Muncul Puan Aisyah
bersama-sama Imanina dan Faiz. Bibir Zahira mula menguntum senyuman yang lebar.
“Zara, apa khabar sayang? Zara okey ke? Risau mama tadi, rasa nak
berhenti berdenyut jantung mama tau”, ujar Puan Aisyah. Imanina disebelah hanya
mencebikkan mulutnya. Faiz yang perasan terus menyiku Imanina. Dia berbisik
perlahan ke telinga Imanina.
“Nina, hormat sikit orang yang tengah sakit! Kau tak belajar agama ke,
adab dengan pesakit?”, tegur Faiz sambil menjegilkan matanya. Imanina terus
membuat muka selambanya, tidak cukup dengan itu dia menjelirkan lidahnya ke
arah Faiz. Terkejut Faiz melihatnya.
‘Nina..Nina..degil betul lah kau ni!’, rungut Faiz di dalam hati.
Rungutan Faiz terhenti di situ apabila seorang doktor dan seorang jururawat
yang melangkah masuk. Doktor itu memakai tanda nama ‘Afini’.
“Assalamualaikum semua. Saya Dr. Afini dan izinkan saya memeriksa
keadaan pesakit sebentar”, pinta Dr. Afini. Semua yang berada di situ
memberikan laluan kepada doktor itu untuk memeriksa keadaan Zahira. Setelah
selesai, Puan Aisyah pantas membuka mulut untuk bertanya kepada doktor.
“Doktor! Boleh saya tahu siapa yang menderma darah kepada anak saya?
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana dia telah membantu
menyelamatkan nyawa puteri saya. Kalau tak ada orang itu, pasti…”, Puan Aisyah
tidak jadi untuk meneruskan kata-katanya.Matanya dapat menangkap kelibat
Imanina yang melangkah keluar dari wad Zahira. Betapa kesalnya dia melihat
sikap Imanina yang tidak pernah mahu berubah.
“Tak apa mak cik, biar saya yang cakap dengan Nina. Sabar ya mak cik”,
lembut suara Faiz menuturkan kata untuk memujuk hatinya yang terluka. Dalam hatinya
tidak pernah berhenti mengucapkan syukur kerana telah mempertemukan Imanina
dengan sahabat sebaik Faiz. Harapnya Imanina tidak akan mensia-siakan Faiz
begitu sahaja.
********************************************************************
Semua yang berada di dalam wad tersebut tidak percaya dengan apa yang
baru disebut oleh Dr. Afini sebentar tadi. Lebih-lebih lagi Puan Aisyah.
Sungguh dia tidak menyangka anaknya, Imanina yang begitu prejudis terhadap
keluarga ‘baru’nya sanggup melakukan pengorbanan yang besar demi menyelamatkan
nyawa Zahira.
Zahira pula tidak pernah berhenti mengalirkan air matanya sejak dia
tahu bahawa Imanina yang mendermakan darah buatnya. Benarlah kata hatinya
selama ini, Imanina sebenarnya seorang gadis yang berjiwa lembut, cuma luarannya
tampak kasar. Tidak sia-sia doanya selama ini yang berharap Imanina akan
membukakan pintu hatinya untuk menerima dia sekeluarga. ‘Terima kasih Ya
Allah’, ucap Zahira di dalam hati.
********************************************************************
“Aku bangga dengan kau”, ujar Faiz. “Sekeras-keras hati kau,
sekasar-kasar kau, kau masih sudi untuk mendermakan darah untuk Zahira”, puji
Faiz ikhlas. Kasihan pula dia melihat Imanina yang terpaksa menahan sakit apabila
dicucuk dengan jarum semasa mendermakan darah tadi. Dia tahu Imanina memang
cukup pantang melihat jarum. Tetapi demi menyelamatkan nyawa saudara tirinya,
dia sanggup mengatasinya.
“Alah! Aku terpaksa Faiz. Terpaksa. Bukan apa, aku tak nak tengok mama
aku tertekan dengan keadaan Zahira. Mama aku terlampau memikirkan pandangan
orang. Dia terlampau risau kalau apa-apa jadi dekat Zahira nanti, orang akan
menuding jari dekat dia. Orang akan cakap dia tidak mampu untuk menjaga anak
tirinya dengan baik, dan kalau boleh dia nak hapuskan tanggapan orang bahawa
tidak semua ibu tiri itu adalah jahat macam dalam cerita Cinderella”, panjang lebar cerita Imanina.
Tidak berkelip mata Faiz memandang Imanina. Sebenarnya dia tidak
berapa faham dengan apa yang baru sahaja dikatakan oleh Imanina. Tetapi pada
masa yang sama terdetik juga rasa geram kerana Imanina masih tetap dengan
egonya.
“Err..Nina, kau boleh terangkan balik tak? Aku kurang faham lah..”,
kata Faiz sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
“Maksud aku, aku dermakan darah kepada Zahira tu bukan sebab aku
sayangkan dia tapi sebab aku sayangkan mama aku. Apa yang aku buat selama ini
adalah demi mama aku. Aku sanggup buat apa saja demi mama aku”. Baru kini Faiz
mengerti apa yang diperkatakan oleh Imanina awal tadi. Kata-katanya yang cukup
mendalam membuatkan dia tidak percaya yang Imanina yang berada di sebelahnya
kini sudah jauh lebih matang daripada Imanina yang pernah dia kenal dulu.
********************************************************************
Kenduri doa selamat telah berjalan dengan lancar. Kenduri tersebut
diadakan sempena menyambut Zahira yang baru pulang dari hospital setelah
selesai pembedahan tempoh hari.
Kelihatan Imanina dan Faiz sibuk membasuh pinggan dan mangkuk yang
digunakan oleh para tetamu tadi. Riuh suara mereka bergurau sambil bermain air.
Orang disekeliling sudah biasa dengan telatah mereka berdua yang sentiasa
menghiburkan setiap majlis kenduri diadakan. Biasanya, mereka berdualah yang
sibuk menawarkan diri untuk menjadi tukang cuci. Kata mereka, itu lebih baik
daripada melayan tetamu di luar.
Zahira hanya tersenyum melihat kemesraan Imanina dan Faiz. Dia tahu
mereka berdua amat sukar dipisahkan. Tiada siapapun yang boleh mencelah masuk
diantara mereka berdua ketika mereka sedang berada di dalam dunia mereka.
“Kamu cemburu ya?”. Suara yang muncul tiba-tiba itu membuatkan Zahira
terperanjat.
“Ishh..ayah ni! Buat Zara
terkejut je. Hmm..Zara akui, Zara memang cemburu tengok kak Iman ada kawan
sebaik Faiz dan serapat itu. Sampai tak ada ruang langsung untuk Zara!”, gurau Zahira
dan diiringi gelak tawa Encik Muslim.
“Satu hari nanti kamu pasti akan dapat masuk ke ‘dunia’ mereka. Jangan
risaulah, nanti ada lah peluang buat kamu”, sampuk Puan Aisyah. Zahira yang
mendengar hanya tersipu malu.
“Tak naklah mama. Tak baiklah kacau dunia mereka. Zara tak nak
rosakkan hubungan baik kak Iman dengan Faiz. Biarlah mereka dengan dunia
mereka. Kak Iman dah banyak berkorban untuk Zara. Darah yang sedang mengalir
dalam diri Zara sekarang pun adalah darah kak Iman jadi Zara cuma boleh berharap
satu hari nanti kak Iman dengan Zara pun ada dunia kami sendiri. Pada masa tu,
Faiz pula tak boleh masuk!”, ujar Zahira. Kata-katanya itu membawa harapan yang
besar kepada Puan Aisyah dan Encik Muslim. Semoga satu hari nanti, keluarga
mereka dapat bersatu dengan sempurna seperti keluarga yang lain juga. Amin..
******************************************************************
Comments
Post a Comment